Thursday, June 18, 2009
Mat Rempit Sejati
Adake orang umah aku amik gambar aku tengah tido mcm ni.... tak senonoh betul hehehe
“SUDAHLAH bawa motor (sikal) macam pelesit, boncengkan betina pula,” kata seorang pemandu kereta berusia separuh abad ketika melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur bersama keluarganya pada malam minggu lalu.
Komen sedemikian adalah kata-kata biasa yang didengar dan diucapkan pengguna jalan raya apabila terserempak dengan gelagat menyakitkan mata dan hati penunggang motosikal yang digelar ‘Mat Rempit’.Label Mat Rempit sudah cukup menerangkan betapa tidak semenggahnya perangai anak muda yang membawa motosikal dengan pelbagai lagak ngeri dan berbahaya, bukan saja pada diri penunggang, juga orang ramai.
Kelakuan menjengkelkan Mat Rempit diterjemah pula dalam bentuk filem ‘Remp-it’ yang memaparkan betapa buruknya kelakuan anak muda kaki lumba haram yang gemarkan seks bebas, arak dan ganja.
Bagi masyarakat umum yang saban hari disogok dengan salah laku suka bergaduh, aksi berani mati di jalan raya, sering dikejar polis trafik, berlumba haram dengan pertaruhan wang tunai serta imbuhan tubuh perempuan murahan, Mat Rempit bukan insan baik.
Tengoklah filem Remp-it, mana ada Mat Rempit baik? Pelbagai watak ditonjolkan, tetapi tidak ada Mat Rempit yang betul-betul mempunyai pekerti mulia yang boleh dijadikan contoh.
Macha adalah antara satu watak baik yang ditonjolkan sering mendirikan solat, malangnya perwatakan itu dicemari pula dengan split-personalitynya (personaliti terbahagi). Macha turut digambarkan anak muda dahagakan seks bebas apabila bersama rakan rempitnya.
Pendek kata, kalau masyarakat mahu tahu siapa sebenarnya Mat Rempit pergilah ke panggung wayang dan tonton Remp-it, selepas itu tanyalah anak remaja di rumah, ke mana mereka melaram dengan motosikal dan apa mereka lakukan hingga awal pagi.
Sedar atau tidak, masyarakat seolah-olah tidak nampak sebenarnya kegilaan remaja terhadap motosikal, saling tidak tumpah minat dan kegiatan anggota kelab motosikal berkuasa tinggi atau Mat Motor Besar.
Mat Rempit berhimpun di tepi jalan, Mat Motor Besar melepak di kelab eksklusif. Mat Rempit berhibur di disko, Mat Motor Besar pula menikmati persembahan live band di lounge hotel.
Kenapa hanya Mat Rempit dipandang serong sedangkan Mat Motor Besar dijulang sebagai orang yang ada kelas dan dihormati?
“Di sebalik label kejahatan yang diberikan kepada Mat Rempit itu, masyarakat seolah-olah lupa bahawa Mat Rempit juga manusia biasa.
“Mereka ada hati dan perasaan, berbakat serta berkebolehan terutama dalam bidang kejuruteraan permotoran dan kelajuan.
“Apa yang paling penting, mereka adalah generasi pemimpin akan datang,” kata Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.
Malangnya, tidak ramai yang nampak potensi sebenar Mat Rempit sebagaimana Abdul Azeez melihatnya.
Bagi masyarakat, apa saja perkara yang bersabit Mat Rempit, tidak ada langsung baiknya. Semuanya buruk, hina, kotor, jahat atau lebih mudah jika dirangkumkan sebagai sampah masyarakat!
Sedangkan, Mat Rempit pada pandangan Abdul Azeez adalah insan yang mempunyai bakat, kemahiran, semangat berpasukan yang mantap, setiakawan dan kepemimpinan.
Bakat dan minat dalam dunia permotoran, walaupun setakat bertumpu pada kenderaan berkuasa rendah, menjadikan Mat Rempit kumpulan belia yang kreatif dan inovatif hingga berupaya meningkatkan kuasa motosikal kecil setaraf dengan motosikal berkuasa tinggi.
“Saya pernah berjumpa dengan seorang usahawan permotoran dari Jepun yang mempunyai 200 jurutera bekerja dengannya.
“Dia kagum apabila mendapat tahu Mat Rempit boleh ubah suai enjin motosikal 120cc memecut lebih 180 kilometer sejam. Begitulah hebatnya Mat Rempit kita,” katanya.
Beliau berkata, banyak pihak yang geram dengan aksi Mat Rempit yang suka mempamerkan lagak ngeri di jalan raya sibuk sedangkan kerajaan berusaha menyediakan litar lumba yang boleh diguna pakai.
“Masalahnya, kebanyakan Mat Rempit adalah golongan remaja yang sukakan perhatian dan perangai menunjuk-nunjuk adalah naluri biasa remaja.
“Jika mereka mahu beraksi di depan khalayak ramai, mengapa kita tidak boleh tutup jalan, misalnya di Jalan Tuanku Abdul Rahman atau Jalan Tun Razak dan sediakan penghadang yang selamat di sepanjang jalan supaya mereka boleh beraksi.
“Saya percaya, jika kita beri sedikit kelonggaran kepada Mat Rempit menunjukkan bakat mereka, aktiviti itu boleh dijadikan satu acara unik yang boleh menarik minat pelancong asing,” katanya.
Katanya, Mat Rempit juga mempunyai pelbagai kelab tidak berdaftar seperti Kumpulan Shell, Kumpulan Kamikaze dan Kumpulan Apache, tetapi amat mengagumkan apabila Putera Umno mendapati kumpulan itu mempunyai struktur organisasi pertubuhan yang tersusun dengan anggota yang patuh dan taat pada pemimpin serta peraturan kelab.
“Mat Rempit bukan sekadar kumpulan penggemar sukan motosikal yang tidak tentu hala, mereka mempunyai keanggotaan dan bakat kepemimpinan yang baik.
“Jika kelebihan itu dapat disalurkan ke jalan yang betul dan berfaedah, Mat Rempit boleh dibentuk menjadi insan cemerlang, gemilang dan terbilang,” katanya.
Abdul Azeez berkata, Putera Umno mengambil langkah mendekati golongan Mat Rempit kerana menyedari kumpulan belia itu boleh dibimbing dan diketengahkan sebagai kelompok anak muda yang berdaya maju.
Menurutnya, Putera Umno mengatur untuk menghimpunkan 50,000 Mat Rempit dari seluruh negara di ibu kota pada 10 hingga 12 November ini dengan pengisian pelbagai aktiviti sukan, rekreasi dan hiburan bagi mendedahkan golongan itu kepada masyarakat.
Selain itu, Putera Umno sedang merancang mengadakan konvoi membabitkan kira-kira 2,000 Mat Rempit dari Kuala Lumpur ke Teluk Batik, Lumut, Perak pada 9 September ini.
Lebih 400 Mat Rempit pula bakal meronda di sekitar ibu kota sambil membawa tabung bantuan kemanusiaan untuk rakyat Lubnan dan Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel melalui Ronda Kemanusiaan Putera Rempit bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam 26 Ogos ini.
Abdul Azeez melihat penampilan Mat Rempit dalam acara kemanusiaan itu mampu memberi ruang kepada masyarakat umum untuk mencuci minda daripada prasangka dan prejudis terhadap belia bermotosikal
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment