Saturday, July 25, 2009

SEJARAH

Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998 bahawa mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim akibat tindakannya sendiri:

“Mustahil mata lebam tersebut akibat tindakan Anwar sendiri.”

Azizan dikenali sebagai orang kanan Dr Mahathir, yang pernah menjadi Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri. Namun episod yang dirakam di dalam biografinya itu menjadi bukti integritinya yang menjadi lagenda di dalam institusi kerajaan.

Kita baru sahaja dikejutkan dengan kematian pembantu Exco Kerajaan Negeri Selangor, mendiang Teoh Beng Hock selepas disoalsiasat SPRM. Media arus perdana menegaskan beliau bunuh diri, sedangkan beliau dijadualkan mendaftarkan perkahwinannya keesokan hari dan bakal mendapat anak tidak lama lagi. Prosedur siasatan SPRM juga meninggalkan tandatanya, sehingga ramai mendesak dibentuk Suruhanjaya DiRaja. Akhirnya, Kerajaan mengakui bahawa terlalu banyak persoalan timbul tentang kematian Teoh dan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja (walaupun bidangkuasanya terhad berbanding apa yang diminta orang ramai).

Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times, Zainul Ariffin dalam tulisannya di Berita Harian menuduh bahawa pimpinan Pakatan Rakyat mempertikaikan kewibawaan orang Melayu apabila mengkritik institusi kerajaan. Tulisannya mengingatkan saya tentang bagaimana propaganda kerajaan disumbat kepada mahasiswa di dalam Biro Tatanegara.

Adakah beliau lupa kenyataan Dr Mahathir tentang kes Anwar? Waktu itu pihak polis menjamin Anwar dalam keadaan selamat, namun rupa-rupanya Ketua Polis Negara sendiri, Tan Sri Rahim Noor memukul Anwar. Bukan seorang polis berpangkat rendah, tetapi pegawai polis nombor wahid!

Tiada siapa suka-suka mempertikaikan institusi kerajaan. Secara peribadi institusi kerajaan mempunyai hubungkait rapat dengan saya memandangkan bapa saya seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik seangkatan Allahyarham Azizan yang berkhidmat selama tiga dekad daripada negara kita mula-mula merdeka. Isteri saya seorang kakitangan kerajaan. Apatah lagi untuk mengkritik institusi kerajaan atas sebab perkauman memandangkan saya pun orang Melayu.

Saya mengenali ramai kakitangan kerajaan hari ini — Melayu dan bukan Melayu — yang berani melaksanakan amanah mereka untuk rakyat. Ramai yang berkebolehan dan berwibawa. Ramai yang melihat tugas ini bukan sekadar “makan gaji” tetapi tugas mereka kepada Raja dan negara. Ada rakan-rakan saya yang menolak peluang pekerjaan lebih lumayan, termasuk di luar negara, semata-mata untuk menyertai perkhidmatan awam.

Namun, sebagaimana tergambar kes Anwar dan Beng Hock, kewibawaan institusi-institusi kerajaan telah tercemar. Bak pepatah Melayu, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Inikan pula selepas begitu banyak nila, bukan lagi setitik, tumpah ke dalam belanga tersebut, walaupun hakikatnya susunya asalnya putih bersih. Persoalannya siapakah yang telah menuang nila tersebut sehingga kita hingga kewibawaan institusi kerajaan dipersoalkan semua pihak? Siapakah yang menjejaskan kredibiliti institusi kerajaan sehingga pegawai-pegawai berdedikasi ditukarkan ke jabatan lain ataupun dibekukan kenaikan pangkat kerana kesetiaan mereka terhadap amanah mereka tersebut?

Kewibawaan institusi kehakiman yang dahulunya antara paling dihormati di negara-negara Komanwel tercemar apabila Tun Salleh Abas dipecat sebagai Ketua Hakim Negara pada 1988. Apabila Mahkamah Agung bersidang dan memberikan ruang kepada Tun Salleh Abas mempertikaian keputusan tribunal yang memecatnya, hakim-hakim Mahkamah Agung pula digantung. Empat daripada lima mereka merupakan Melayu. Dua daripada mereka kemudian dipecat terus, dan salah seorang daripadanya adalah Melayu.

Kemudian kita ada kes pemecatan Anwar pada 1998, yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Timbalan Presiden Umno di atas tuduhan-tuduhan yang luarbiasa. Sistem kehakiman — termasuk hakim bukan Melayu — digunakan bagi memastikan Anwar dipenjarakan sedangkan kes pendakwaraya jelas tempang.

Baru-baru ini, lima orang peguam muda — empat daripadanya gadis-gadis Melayu — mencipta sejarah sebagai peguam pertama dalam sejarah Malaysia yang ditahan ketika menjalankan tugas mereka untuk membela tahanan polis.

Jangan kita lupa, pembongkaran video V.K. Lingam oleh Anwar pada tahun 2007 yang mendedahkan bahawa seorang towkay judi Cina — Vincent Tan — bersama seorang peguam India — V.K. Lingam — bersubahat bagi mengatur perlantikan hakim bersama dengan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Halim. Ahmad Fairuz memegang jawatan Ketua Hakim Negara ketika skandal tersebut dibongkarkan.

Dalam pelbagai skandal dan kes rasuah, pegawai kerajaanlah dihukum — menjadi kambing hitam apabila keadaan memerlukannya. Namun acapkali ahli politik Umno dan BN lepas begitu sahaja. Malah yang diisytiharkan bersalah politik wang, tidak pula disiasat oleh SPRM.

Di manakah Zainul Ariffin ketika insiden-insiden ini terjadi sehingga menjejaskan kewibawaan institusi kerajaan kita? Jelas dengan insiden-insiden ini, bukan institusi Melayu yang dipersoalkan, tetapi integriti institusi kerajaan yang dibentuk bapa-bapa kemerdekaan kita untuk menjadi asas sebuah negara merdeka dan berdaulat yang dihormati.

Kerajaan Persekutuan pimpinan Umno dan Barisan Nasional juga tidak dapat menerima prinsip Federalisme yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita.

Lihat sahaja Kerajaan Negeri Kelantan, negeri yang penduduknya 90 peratus Melayu. PAS menyertai Kerajaan Campuran bersama Parti Perikatan pimpinan Umno dan seterusnya menjadi anggota Barisan Nasional berikutan rusuhan kaum 13 Mei 1969. Antara hujah yang menarik perhatian Datuk Asri Muda, Presiden PAS ketika itu adalah perpaduan Melayu.

Namun selepas pemergian Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Kerajaan Negeri PAS Kelantan telah ditumbangkan dengan taktik kotor berikutan irihati pimpinan Umno.

Apabila PAS menang semula pada 1990, Kerajaan Negeri Kelantan telah dianaktirikan. Rakyat Kelantan yang majoriti besarnya Melayu itu dihukum kerana mengundi pembangkang sehingga Sultan Kelantan pun hendak digulingkan! Malah kini, hasil gas dan minyak yang berada di persisiran air Kelantan pun tidak diberikan royalti (ingat lagi penarikan balik royalti minyak Petronas ketika PAS memerintah Terengganu pada 1999?) semata-mata kerana pandangan politik sempit pimpinan Umno.

Ketika Datuk Seri Khir Toyo yang hari ini mendabik dada menjadi pejuang Melayu, memegang jawatan Menteri Besar, beliau telah mengambil tindakan menggantung Jawatankuasa Masjid yang berani membebaskan diri mereka daripada campurtangan politik Umno. Malah, Surau Flat Jubli Perak di Bangi pernah dirobohkan kerana berani mengundang penceramah yang kritikal terhadap Umno. Jangan pula kita lupa dasar setinggan sifar di bawah Khir Toyo yang mana institusi kerajaan digunakan untuk merobohkan kawasan setinggan seperti Kampung Berembang yang didiami majoriti orang Melayu secara zalim semata-mata untuk memberi ruang kepada pemaju-pemaju besar mengaut keuntungan besar.

Hari ini kampung-kampung Melayu di negeri-negeri Pakatan Rakyat berpecah belah kerana ada dua Ketua Kampung dan dua JKKK. JKKK jelas berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, sebagaimana pernah disuarakan DYMM Sultan Selangor tahun lepas. Namun atas kegagalan BN memahami realiti demokrasi, maka mereka berkeras mahu melantik JKKKP sekaligus mengucar-kacirkan masyarakat kampung.

Terbaru sekali, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Noh Omar melarang pegawai-pegawai Kementeriannya menghadiri mesyuarat-mesyuarat Kerajaan-Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat. Majoriti besar pegawai-pegawai ini Melayu, dan banyak projek-projek pertanian melibatkan masyarakat Melayu yang daif dan perlu pembelaan. Namun mengapa Noh mengambil pendirian cetek demikian? Adakah Noh iri hati terhadap kejayaan projek melipatgandakan hasil padi yang memberi kesan positif kepada penanam-penanam padi di Selangor termasuk penanam Melayu? Adakah Noh khuatir jika orang Melayu di desa pun melihat keberkesanan dasar Kerajaan Negeri yang baru, Umno akan tumbang di kubu kuatnya tidak lama lagi?

Malah, ramai pegawai-pegawai kerajaan yang mengucapkan penghargaannya kepada Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor kerana kali ini pandangan mereka sebagai penjawat awam dihormati. Dahulu di bawah BN mereka cuma diminta menurut perintah ahli politik tanpa soal, kali ini mereka ada ruang untuk menyuarakan pandangan mereka.

Umno tidak lagi boleh merencatkan pemikiran orang Melayu dengan dakyah-dakyah sempit mereka. Dengan menyamakan kita mengkritik institusi-institusi ini sebagai mempertikaikan kewibawaan Melayu, Umno cuba berselindung daripada menyelesaikan isu sebenar di sebalik propaganda perkauman. Selama ini, itulah strategi Umno. Tetapi orang Melayu tidak akan bergerak ke hadapan dengan pandangan-pandangan begitu.

Tidak timbul kita tidak percaya kepada institusi “Melayu” — kita juga tegas dalam isu PKFZ yang melibatkan ramai pemimpin MCA (dan juga Umno — semangat tulen perkongsian kuasa BN!) dan Maika Holdings yang melibatkan MIC. Rakyat Malaysia hari ini mahukan institusi kerajaan yang berwibawa, yang dapat menjalankan tugas “without fear or favour” dan tidak menjadi perkakas politik pihak-pihak tertentu. Kita mahu kebolehan pegawai-pegawai kerajaan diiktiraf.

Jika Pakatan Rakyat tidak menyuarakan perkara ini, kewibawaan institusi kerajaan kita akan jatuh ke tahap yang lebih dasyat lagi. Siapakah yang bertanggungjawab merosakkan kewibawaan institusi-institusi ini kalau bukan Umno dan BN sendiri?

Mungkin bagi mengingatkan Zainul, bapa saya sendiri yang begitu setia membaca New Straits Times yang dikenali sebagai akhbar berbahasa Inggeris pro-establishment begitu jelek dengan propaganda kerajaan sehingga berhenti membelinya pada 1998! Jika beliau menonton Buletin Utama pun beliau sudah berhenti mempercayai propaganda politik yang dilaporkan. Kalau pegawai kerajaan pun tidak membeli propaganda BN, siapa lagi yang percaya dakyah Zainul?

Jangan dalam keghairahan kita menjadi penulis upahan Umno, kita buta kepada kesan-kesan nila yang mewarnai tangan-tangan penguasa!

No comments: