JULY 6 — Terima kasih kepada pembahas dan pembaca yang menghayati puisi mudah saya dalam posting lalu. Saya tidak pandai bermadah dan berbahasa tinggi dan indah. Itulah yang mampu saya luahkan untuk melepaskan sebak di dada dan berkongsi rasa.
Terima kasih kepada yang turut berpuisi dan berpantun seloka. Khazanah bahasa ini jangan kita lupa. Madah pujangga dan tunjuk ajar pendeta jangan dipersia-senda.
Ekoran daripada reaksi yang membina kepada posting itu, izinkan saya meneruskan perbincangan mengenai Dasar Ekonomi Baru atau saki bakinya yang nampaknya amat tidak disenangi oleh sesetengah pihak. Mohon maaf jika tampalan kali ini lebih panjang daripada biasa.
Saya hendak mulakan dengan bertanya: Selama 30 tahun Dasar Ekonomi Baru berkuat kuasa, adakah ia menyekat perkembangan ekonomi negara?
Jawabnya tidak. Malah kerana pelaksanaan matlamat-matlamat dan program-program DEBlah, ekonomi Malaysia berkembang pesat.
Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) meningkat daripada RM12 bilion pada tahun 1970 kepada RM120 bilion 1995 dan RM357.9 bilion 2007, menjadikan ekonomi Malaysia ke-29 terbesar di dunia.
Adakah ia menyekat kemajuan kaum-kaum bukan Bumiputera dan membantutkan kemasukan modal asing seperti yang didakwa oleh begitu banyak pihak sehingga membuatkan sesetengah pembesar Umno berasa bersalah dan defensif?
Pun tidak. Kadar kemiskinan dikurangkan dan pendapatan semua kaum meningkat. Tetapi pendapatan kaum-kaum bukan Bumiputera, khasnya Cina meningkat dengan lebih pantas kerana mereka menguasai dunia perdagangan dan profesionalisme.
Jurang Miskin-Kaya Meluas
Malah jurang pendapatan antara yang miskin dan kaya menjadi luas semula sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila kemunculan kegiatan baru ekonomi seperti perkhidmatan (services) dan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) lebih menguntungkan sesetengah kaum dan golongan pekerja.
Laporan Rancangan Pembangunan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHDP) tahun 2004 mendapati 10 peratus rakyat Malaysia yang paling kaya menguasai 38.4 peratus daripada pendapatan ekonomi berbanding 10 peratus paling miskin menguasai hanya 1.7 peratus.
Kita semua tahu siapa dan kaum mana paling kaya di Malaysia dan siapa pula yang paling miskin di negara kita ini. Malah jurang antara yang kaya dengan yang miskin dalam kaum yang sama turut meningkat.
Bumiputera tidak mencapai matlamat 30 peratus pemilikan kekayaan korporat. Mengikut perangkaan rasmi, pada tahun 2006, pemilikan Bumiputera pada nilai pasaran dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dianggarkan RM88.4 bilion atau 15.1 peratus.
Tetapi bukan Bumiputera yang berupa 34 peratus daripada warganegara memiliki RM251.1 bilion (42.8 peratus) manakala pemodal asing memiliki RM234.7 bilion (40 peratus).
Majoriti aset Bumiputera dipegang oleh institusi amanah dan beberapa kerat ahli perniagaan Melayu yang berjaya.
Lebih Buruk Tanpa DEB
Hatta pada nisbah yang rendah dan berat sebelah ini pun, kita boleh berkata DEB telah berhasil mengurangkan kemiskinan dan ketidakseimbangan kaum.
Misalnya, apabila DEB dilancarkan pada tahun 1971, pemilikan korporat Bumiputera dianggarkan hanya dua peratus.
Jadi apalah salahnya kita meneruskan pelaksanaan sesetengah matlamat dan kaedah DEB yang baik dan berkesan itu?
Mengapakah sesetengah orang Melayu dan parti-parti politik Melayu begitu takut untuk mempertahankan sesuatu yang terbukti baik dan menguntungkan semua kaum?
Kalau ada perkara yang hendak ditentang dan dikritik dalam dasar itu adalah kegagalan mencapai sepenuhnya matlamat membasmi kemiskinan dan 30 peratus pemilikan Bumiputera.
Dalam apa bentuk sekalipun, matlamat membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menambah ekuiti Bumiputera wajib diteruskan.
Tetapi dasar-dasar berkaitan pemilikan ekuiti bukan Bumiputera boleh diliberalisasikan kerana mereka bukan sahaja sudah mencapai matlamat itu malah atas dasar meritokrasi sudah boleh bersaing dengan orang asing.
Inilah masanya bagi badan-badan amanah dan tabung-tabung pelaburan rasmi, termasuk Ekuiti Nasional Berhad yang baru ditubuhkan, menambah modal dalam syarikat-syarikat bukan Bumiputera dan asing yang berdaya maju kerana harga saham di Bursa Saham berada pada paras yang menarik.
DEB Punca Bukan Melayu Tolak BN?
Apakah pengundi bukan Melayu menolak Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum tahun lalu kerana DEB?
Kalau begitu, kenapa mereka sokong BN sebelum ini, khasnya pada tahun 2004?
DEB hanyalah alasan! Mereka menolak Umno dan BN kerana imej BN yang tidak baik dan kerana mungkir janji. Banyak janji dan ikrar era Abdullah Ahmad Badawi seperti keterbukaan, kebebasan dan liberalisasi tidak dilaksanakan seperti difahami oleh pengundi.
Selain merakamkan protes, pengundi bukan Melayu tahu bahawa dengan menghukum BN mereka boleh membuat tuntutan baru.
Dilema Umno dan BN adalah memastikan agar tolak-ansur dengan bukan Melayu ini tidak akan menambahkan kemarahan orang Melayu dan memastikan orang bukan Melayu mengundi BN.
Yang dikhuatiri adalah apa yang disebut oleh ungkapan Inggeris iaitu pengundi bukan Melayu mungkin "have the cake and eat it at the same time." Dalam erti kata yang lain, mereka terima apa yang diberi, tetapi tetap tidak mengundi BN.
Ada Bumiputera Tak Sedar Untung Nasib
Bumiputera yang menolak DEB atau berasa bersalah mendapat bantuan DEB sebenarnya tidak kenang budi dan tidak sedar diri.
Apatah lagi kalau mereka membuta tuli bercakap mengenai meritokrasi dan liberalisasi yang mereka sendiri tidak faham implikasinya.
Kalau tidak kerana sekolah asrama penuh, MRSM, biasiswa dan pinjaman pelajaran, adakah mampu bilangan profesional Bumiputera dinaikkan ke tahap sekarang?
Pada tahun 1970, ada hanya 6.8 peratus akauntan adalah Bumiputera, 4.3 peratus arkitek, 3.7 peratus doktor dan 7.3 peratus jurutera. Yang agak banyak adalah doktor haiwan (40 peratus) sebab pada waktu itu Melayu pelihara haiwan. Tetapi pada tahun lalu, 24.5 peratus akauntan adalah Bumiputera, arkitek 38.2 peratus, doktor 52.9 peratus dan jurutera 52.4 peratus.
Apakah Melayu dan Bumiputera profesional ini boleh berada di mana mereka sekarang jika bergantung nasib semata-mata kepada pembiayaan ibu bapa mereka yang mengerjakan bendang, dusun dan huma untuk mendapat pelajaran tinggi?
Sekalipun mereka sudah berdikari dan tidak perlu tongkat lagi, tetapi ingatlah banyak lagi orang Melayu, Iban, Kadazan dan Orang Asli yang miskin dan melarat.
Dan bagi setiap rumah besar yang doktor atau jurutera Melayu miliki, orang Cina miliki lebih banyak dan lebih besar.
Jangan berbangga sangat dengan aset-aset Permodalan Nasional Berhad, Tabung Haji, Felda dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera. Hari ini semakin banyak kawasan bandar seperti Seri Kembangan, Petaling Street dan Bukit Bintang, hampir-hampir tidak ada penyertaan Bumiputera malah India pun hampir-hampir tidak ada.
Jadi, apakah yang buruk sangat dengan DEB sehingga begitu ramai orang, termasuk orang Melayu, berasa ia merugikan dan wajib dihapuskan?
Meritokrasi Bila Tembolok Terisi
Orang bukan Melayu dan sesetengah orang Melayu kini asyik bercakap mengenai keadilan sosial dan meritokrasi.
Bukankah kerana keadilan sosial dan meritokrasi di bawah DEB maka begitu ramai orang bukan Melayu mampu ke universiti-universiti ternama di dunia atas pembiayaan sendiri mengatasi bilangan Bumiputera yang dibiayai oleh Kerajaan?
Mengapakah apabila Kerajaan memberi biasiswa atau bantuan kepada Bumiputera, ia dituduh memberi tongkat, tetapi apabila bukan Bumiputera mendapat hak yang sama, ia dikatakan hak dan meritokrasi?
Apabila Bumiputera berjaya dalam perniagaan dia dituduh kroni. Tetapi apabila korporat Cina dan India menjadi raksasa kerana kontrak, francais dan lesen kerajaan ia dikatakan meritokrasi?
Siapa yang memegang monopoli gula sampai hari ini atau menjadi kaya raya kerana lesen judi, lesen TV satelit, lesen IPP dan kontrak berbilion ringgit membina hospital, kereta api laju dan sekolah?
Dan berapa kerat tahu atau masih ingat bagaimana Tun Abdul Razak Hussein terpaksa "menyelamatkan" Malayan Banking pada tahun 1965 apabila pengasasnya, mendiang Khoo Teck Puat, disingkirkan atas tuduhan melencongkan wang bank itu kepada syarikat persendiriannya di Singapura?
Begitulah juga dengan pengambilan oleh IPTA. Apabila keutamaan diberikan kepada Bumiputera, bukan Melayu merungut. Tetapi apabila Kerajaan membenarkan penubuhan IPTS yang majoriti pelajarnya bukan Melayu, tiada siapa pun mengucapkan terima kasih atau bersungut?
Hari ini, ada 20 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang tersenarai dalam laman web rasmi Kementerian Pengajian Tinggi, tidak termasuk 24 politeknik. Bilangan IPT swasta yang disenaraikan berjumlah 450 – ya, 450.
Dengan pengambilan bukan Bumiputera yang semakin ramai ke IPTA dan kemasukan ke IPTS yang terus dimonopoli oleh bukan Bumiputera, adalah tidak mustahil dalam masa yang singkat pengajian di IPT akan didominasi oleh bukan Bumiputera.
Soal pokoknya adakah situasi berat sebelah yang memihak kepada kaum-kaum minoriti ini menyokong pemulihan Umno dan pembentukan 1Malaysia yang sejahtera, aman dan makmur?
Sudah lupa yang sejahtera, aman dan makmur itu adalah cogan kata manifesto BN tahun lalu?
Dan apakah sudah dikaji dan difahami implikasi sistem biasiswa dua tingkat (two-tier) kepada nisbah kemasukan dan prestasi pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera ke IPT?
Sumbangan bukan Bumiputera Tidak Dinafikan
Tiada siapa yang menafikan bahawa bukan Bumiputera juga menyumbang kepada perkembangan dan kematangan ekonomi negara, tetapi ia berasaskan kepada prinsip keuntungan.
Mereka menyumbang kepada perkembangan ekonomi kerana suasana politik yang stabil sejak 1969 membolehkan mereka meraih keuntungan yang besar daripada apa yang mereka laburkan.
It is not altruism -- bukan sumbangan percuma yang tidak mengharapkan sebarang alasan!
Mari kita hadapi realiti. Selain Singapura yang berupa negara kecil dan majoriti penduduknya Cina, tidak ada tempat lain di dunia di mana orang Cina mempunyai kuasa politik yang begitu luas serta memonopoli ekonomi selain daripada di bumi Malaysia ini.
Tetapi, pilihan raya demi pilihan raya membuktikan bahawa yang menjadi tonggak BN adalah orang Melayu dan Bumiputera lain.
Malah majoriti calon bukan Melayu BN yang menang pilihan raya menang di kawasan majoriti Melayu.
Tetapi akibat kelemahan Umno, orang bukan Melayu bulat-bulat menolak BN pada pilihan raya 2008 manakala ramai orang Melayu memihak kepada Pas.
Perimbangan kuasa antara Umno dan Pas sudah berubah. Tidak mustahil Pas akan menjadi parti utama Melayu yang terpaksa berpakat dengan parti-parti bukan Melayu untuk memerintah.
Itulah yang akan terjadi apabila peranan Umno sebagai parti induk politik Malaysia tidak dapat dipulihkan lagi.
Dan harapan memulihkan Umno sehingga boleh diterima kembali oleh majoriti orang Melayu dan dihormati oleh bukan Melayu tidak akan berjaya jika kepemimpinannya terus dicurigai dan dipertikaikan.
Tindakan tidak menyingkirkan anasir-anasir rasuah daripada kepemimpinan Umno, malah melantik mereka semula, tidak membantu proses pemulihan Umno.
Ironinya, masyarakat perniagaan yang didominasi oleh bukan Melayu boleh hidup makmur sama ada dalam suasana bebas rasuah atau penuh rasuah!
Apabila orang Umno sendiri mendapati sukar mempertahankan parti mereka, adalah sukar bagi Umno mendapat sokongan orang lain, terutamanya sokongan bukan Melayu. Orang bukan Melayu mempunyai banyak pilihan.
Kesimpulannya, janganlah sewenang-wenangnya ditolak kebaikan DEB semata-mata untuk memancing undi atau kerana ia tidak berjaya sepenuhnya.
Itu bukan salah DEB. Itu adalah pengkhianatan oleh pelaksana yang dangkal, lemah, malas dan korup.
Terima kasih.
Monday, July 6, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment