Monday, July 27, 2009

Falsampah

Antara syarat utama mencapai kejayaan dan kemajuan adalah
bersedia berubah dan menerima perubahan,
Pengalaman silam adalah pengajaran terbaik bagi yang ingin terus maju kehadapan.
Mengkritik tidak bererti menentang, Memuji tidak semestinya menyokong,
Menegur tidak bermakna membenci,
Dan berbeza pendapat adalah kawan berfikir yang baik

Sunday, July 26, 2009

UMNO oh UMNO

UMNO juga perlu bangun dalam isu SPRM. Tidak mustahil MCA dan Gerakan juga akan memulakan langkah menggesa SPRM di siasat atas kematian Teoh Beng Hock baru-baru ini. Sekiranya ini berlaku maka UMNO akan terus tertinggal dengan cara ortodoks – meletakkan seolah-olah kritikan atas SPRM adalah kritikan ke atas UMNO. Ini perlu di asingkan dan UMNO jangan melatah seolah-olah kritikan ke atas SPRM adalah kritikan ke atas UMNO dan UMNO pula yang bertanggungjawab memikul liabiliti kerajaan secara pukal. Namun setiap kenyataan dari kepimpinan UMNO hanya meletakkan UMNO sebagai benteng SPRM. Kenapa tidak lebih proaktif – turut bersama-sama rakyat marhaen untuk bersimpati dan mahu mencari kebenaran atas apa yang berlaku ke atas Teoh – Setiausaha Politik EXCO Kerajaan Negeri Selangor Ean Yong Hian Wah.

Malang hari ini – Khir Toyo keluar dengan kenyataan ala-ala benteng SPRM. Nazri Tan Sri Aziz dengan cara purbanya turut mengeluarkan kenyataan seakan benteng kepada SPRM. Ini dituruti oleh TPM - Tan Sri Muhyiddin yang membicarakan manipulasi Pakatan Rakyat atas perkara ini, dengan mengatakan isu ini telah dipolitikkan. Corak defensif dan berlagak seperti benteng kepada SPRM hanya menolak jauh UMNO dari persepsi rakyat. UMNO perlu menunjukkan ketidakpuasan hati mengenai apa yang berlaku dan bangkit turut mendesak SPRM disiasat. Reformasi dalam UMNO perlu total dan bukan hanya menumpukan kepada satu arah dan matlamat yang tidak menyentuh rakyat secara terperinci. Bertindak defensif atas perbuatan SPRM, adalah langkah politik tempang dan akan menjadikan UMNO sasaran untuk bantahan bagi apa sahaja kesalahan dan kesilapan perlakuan jentera kerajaan.

Kita perlu juga ingat ada laporan polis dari ahli UMNO sendiri yang melapurkan bahawa beliau di belasah dan seolah-olah dipaksa membuat pengakuan menuduh - dalam kes rasuah politik wang Dato Norza Zakaria baru-baru ini. Namun UMNO sendiri tidak bangkit mempertahankan, akhirnya isu ini senyap tergantung. Bangun UMNO bangun – MOVE ! masa semakin mendesak untuk perubahan dan untuk UMNO di terima semula sebelum PRU 13.

Saturday, July 25, 2009

SEJARAH

Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1998 bahawa mata lebam Datuk Seri Anwar Ibrahim akibat tindakannya sendiri:

“Mustahil mata lebam tersebut akibat tindakan Anwar sendiri.”

Azizan dikenali sebagai orang kanan Dr Mahathir, yang pernah menjadi Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri. Namun episod yang dirakam di dalam biografinya itu menjadi bukti integritinya yang menjadi lagenda di dalam institusi kerajaan.

Kita baru sahaja dikejutkan dengan kematian pembantu Exco Kerajaan Negeri Selangor, mendiang Teoh Beng Hock selepas disoalsiasat SPRM. Media arus perdana menegaskan beliau bunuh diri, sedangkan beliau dijadualkan mendaftarkan perkahwinannya keesokan hari dan bakal mendapat anak tidak lama lagi. Prosedur siasatan SPRM juga meninggalkan tandatanya, sehingga ramai mendesak dibentuk Suruhanjaya DiRaja. Akhirnya, Kerajaan mengakui bahawa terlalu banyak persoalan timbul tentang kematian Teoh dan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja (walaupun bidangkuasanya terhad berbanding apa yang diminta orang ramai).

Pengarang Urusan Kumpulan New Straits Times, Zainul Ariffin dalam tulisannya di Berita Harian menuduh bahawa pimpinan Pakatan Rakyat mempertikaikan kewibawaan orang Melayu apabila mengkritik institusi kerajaan. Tulisannya mengingatkan saya tentang bagaimana propaganda kerajaan disumbat kepada mahasiswa di dalam Biro Tatanegara.

Adakah beliau lupa kenyataan Dr Mahathir tentang kes Anwar? Waktu itu pihak polis menjamin Anwar dalam keadaan selamat, namun rupa-rupanya Ketua Polis Negara sendiri, Tan Sri Rahim Noor memukul Anwar. Bukan seorang polis berpangkat rendah, tetapi pegawai polis nombor wahid!

Tiada siapa suka-suka mempertikaikan institusi kerajaan. Secara peribadi institusi kerajaan mempunyai hubungkait rapat dengan saya memandangkan bapa saya seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik seangkatan Allahyarham Azizan yang berkhidmat selama tiga dekad daripada negara kita mula-mula merdeka. Isteri saya seorang kakitangan kerajaan. Apatah lagi untuk mengkritik institusi kerajaan atas sebab perkauman memandangkan saya pun orang Melayu.

Saya mengenali ramai kakitangan kerajaan hari ini — Melayu dan bukan Melayu — yang berani melaksanakan amanah mereka untuk rakyat. Ramai yang berkebolehan dan berwibawa. Ramai yang melihat tugas ini bukan sekadar “makan gaji” tetapi tugas mereka kepada Raja dan negara. Ada rakan-rakan saya yang menolak peluang pekerjaan lebih lumayan, termasuk di luar negara, semata-mata untuk menyertai perkhidmatan awam.

Namun, sebagaimana tergambar kes Anwar dan Beng Hock, kewibawaan institusi-institusi kerajaan telah tercemar. Bak pepatah Melayu, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Inikan pula selepas begitu banyak nila, bukan lagi setitik, tumpah ke dalam belanga tersebut, walaupun hakikatnya susunya asalnya putih bersih. Persoalannya siapakah yang telah menuang nila tersebut sehingga kita hingga kewibawaan institusi kerajaan dipersoalkan semua pihak? Siapakah yang menjejaskan kredibiliti institusi kerajaan sehingga pegawai-pegawai berdedikasi ditukarkan ke jabatan lain ataupun dibekukan kenaikan pangkat kerana kesetiaan mereka terhadap amanah mereka tersebut?

Kewibawaan institusi kehakiman yang dahulunya antara paling dihormati di negara-negara Komanwel tercemar apabila Tun Salleh Abas dipecat sebagai Ketua Hakim Negara pada 1988. Apabila Mahkamah Agung bersidang dan memberikan ruang kepada Tun Salleh Abas mempertikaian keputusan tribunal yang memecatnya, hakim-hakim Mahkamah Agung pula digantung. Empat daripada lima mereka merupakan Melayu. Dua daripada mereka kemudian dipecat terus, dan salah seorang daripadanya adalah Melayu.

Kemudian kita ada kes pemecatan Anwar pada 1998, yang ketika itu merupakan Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Timbalan Presiden Umno di atas tuduhan-tuduhan yang luarbiasa. Sistem kehakiman — termasuk hakim bukan Melayu — digunakan bagi memastikan Anwar dipenjarakan sedangkan kes pendakwaraya jelas tempang.

Baru-baru ini, lima orang peguam muda — empat daripadanya gadis-gadis Melayu — mencipta sejarah sebagai peguam pertama dalam sejarah Malaysia yang ditahan ketika menjalankan tugas mereka untuk membela tahanan polis.

Jangan kita lupa, pembongkaran video V.K. Lingam oleh Anwar pada tahun 2007 yang mendedahkan bahawa seorang towkay judi Cina — Vincent Tan — bersama seorang peguam India — V.K. Lingam — bersubahat bagi mengatur perlantikan hakim bersama dengan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Halim. Ahmad Fairuz memegang jawatan Ketua Hakim Negara ketika skandal tersebut dibongkarkan.

Dalam pelbagai skandal dan kes rasuah, pegawai kerajaanlah dihukum — menjadi kambing hitam apabila keadaan memerlukannya. Namun acapkali ahli politik Umno dan BN lepas begitu sahaja. Malah yang diisytiharkan bersalah politik wang, tidak pula disiasat oleh SPRM.

Di manakah Zainul Ariffin ketika insiden-insiden ini terjadi sehingga menjejaskan kewibawaan institusi kerajaan kita? Jelas dengan insiden-insiden ini, bukan institusi Melayu yang dipersoalkan, tetapi integriti institusi kerajaan yang dibentuk bapa-bapa kemerdekaan kita untuk menjadi asas sebuah negara merdeka dan berdaulat yang dihormati.

Kerajaan Persekutuan pimpinan Umno dan Barisan Nasional juga tidak dapat menerima prinsip Federalisme yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita.

Lihat sahaja Kerajaan Negeri Kelantan, negeri yang penduduknya 90 peratus Melayu. PAS menyertai Kerajaan Campuran bersama Parti Perikatan pimpinan Umno dan seterusnya menjadi anggota Barisan Nasional berikutan rusuhan kaum 13 Mei 1969. Antara hujah yang menarik perhatian Datuk Asri Muda, Presiden PAS ketika itu adalah perpaduan Melayu.

Namun selepas pemergian Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Kerajaan Negeri PAS Kelantan telah ditumbangkan dengan taktik kotor berikutan irihati pimpinan Umno.

Apabila PAS menang semula pada 1990, Kerajaan Negeri Kelantan telah dianaktirikan. Rakyat Kelantan yang majoriti besarnya Melayu itu dihukum kerana mengundi pembangkang sehingga Sultan Kelantan pun hendak digulingkan! Malah kini, hasil gas dan minyak yang berada di persisiran air Kelantan pun tidak diberikan royalti (ingat lagi penarikan balik royalti minyak Petronas ketika PAS memerintah Terengganu pada 1999?) semata-mata kerana pandangan politik sempit pimpinan Umno.

Ketika Datuk Seri Khir Toyo yang hari ini mendabik dada menjadi pejuang Melayu, memegang jawatan Menteri Besar, beliau telah mengambil tindakan menggantung Jawatankuasa Masjid yang berani membebaskan diri mereka daripada campurtangan politik Umno. Malah, Surau Flat Jubli Perak di Bangi pernah dirobohkan kerana berani mengundang penceramah yang kritikal terhadap Umno. Jangan pula kita lupa dasar setinggan sifar di bawah Khir Toyo yang mana institusi kerajaan digunakan untuk merobohkan kawasan setinggan seperti Kampung Berembang yang didiami majoriti orang Melayu secara zalim semata-mata untuk memberi ruang kepada pemaju-pemaju besar mengaut keuntungan besar.

Hari ini kampung-kampung Melayu di negeri-negeri Pakatan Rakyat berpecah belah kerana ada dua Ketua Kampung dan dua JKKK. JKKK jelas berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, sebagaimana pernah disuarakan DYMM Sultan Selangor tahun lepas. Namun atas kegagalan BN memahami realiti demokrasi, maka mereka berkeras mahu melantik JKKKP sekaligus mengucar-kacirkan masyarakat kampung.

Terbaru sekali, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Noh Omar melarang pegawai-pegawai Kementeriannya menghadiri mesyuarat-mesyuarat Kerajaan-Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat. Majoriti besar pegawai-pegawai ini Melayu, dan banyak projek-projek pertanian melibatkan masyarakat Melayu yang daif dan perlu pembelaan. Namun mengapa Noh mengambil pendirian cetek demikian? Adakah Noh iri hati terhadap kejayaan projek melipatgandakan hasil padi yang memberi kesan positif kepada penanam-penanam padi di Selangor termasuk penanam Melayu? Adakah Noh khuatir jika orang Melayu di desa pun melihat keberkesanan dasar Kerajaan Negeri yang baru, Umno akan tumbang di kubu kuatnya tidak lama lagi?

Malah, ramai pegawai-pegawai kerajaan yang mengucapkan penghargaannya kepada Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor kerana kali ini pandangan mereka sebagai penjawat awam dihormati. Dahulu di bawah BN mereka cuma diminta menurut perintah ahli politik tanpa soal, kali ini mereka ada ruang untuk menyuarakan pandangan mereka.

Umno tidak lagi boleh merencatkan pemikiran orang Melayu dengan dakyah-dakyah sempit mereka. Dengan menyamakan kita mengkritik institusi-institusi ini sebagai mempertikaikan kewibawaan Melayu, Umno cuba berselindung daripada menyelesaikan isu sebenar di sebalik propaganda perkauman. Selama ini, itulah strategi Umno. Tetapi orang Melayu tidak akan bergerak ke hadapan dengan pandangan-pandangan begitu.

Tidak timbul kita tidak percaya kepada institusi “Melayu” — kita juga tegas dalam isu PKFZ yang melibatkan ramai pemimpin MCA (dan juga Umno — semangat tulen perkongsian kuasa BN!) dan Maika Holdings yang melibatkan MIC. Rakyat Malaysia hari ini mahukan institusi kerajaan yang berwibawa, yang dapat menjalankan tugas “without fear or favour” dan tidak menjadi perkakas politik pihak-pihak tertentu. Kita mahu kebolehan pegawai-pegawai kerajaan diiktiraf.

Jika Pakatan Rakyat tidak menyuarakan perkara ini, kewibawaan institusi kerajaan kita akan jatuh ke tahap yang lebih dasyat lagi. Siapakah yang bertanggungjawab merosakkan kewibawaan institusi-institusi ini kalau bukan Umno dan BN sendiri?

Mungkin bagi mengingatkan Zainul, bapa saya sendiri yang begitu setia membaca New Straits Times yang dikenali sebagai akhbar berbahasa Inggeris pro-establishment begitu jelek dengan propaganda kerajaan sehingga berhenti membelinya pada 1998! Jika beliau menonton Buletin Utama pun beliau sudah berhenti mempercayai propaganda politik yang dilaporkan. Kalau pegawai kerajaan pun tidak membeli propaganda BN, siapa lagi yang percaya dakyah Zainul?

Jangan dalam keghairahan kita menjadi penulis upahan Umno, kita buta kepada kesan-kesan nila yang mewarnai tangan-tangan penguasa!

Sunday, July 12, 2009

SEKADAR RENUNGAN


Jika seorang kanak-kanak tahu akan tanggungjawabnya apakah kita lupa akan tanggungjawab kita.

Tuesday, July 7, 2009

KERAJAAN BODOH ATAU...

Jangan marah kalau aku letak tajuk begini. Aku pun tak tau siapa nak disalahkan samaada kerajaan yang kita pilih tu bodoh atau orang yang memilih itu bodoh.
Kenapa wakil rakyat yang kita pilih tak mau membawa agenda yang kita mahu ke parlimen atau dun....Kenapa wakil yang kita pilih tu hanya mengikut telunjuk orang atasan mereka daripada membawa masaalah rakyat marhein.....
Masaalah ALONG tak pernah selesai...masaalah PATI tak pernah selesai....kenapa wakil yang kita pilih bodoh sangat. Kita salah pilih wakil rakyat atau salah kita sendiri memilih wakil rakyat.
Masaalah ALONG.

Perkara ni dah lama berlarutan. Majlis perbandaran yang bodoh atau wakil kita yang bodoh. Habis semua papan tanda kena tampal dengan iklan ALONG.
CARA PENYELESAIAN.

Setiap no. talipon kan mesti didaftarkan. Ambil aje perintah mahkamah blok nombor-nombor yang bertampal kat papan iklan tu. Kalau orang talipon pun tak boleh nak dapat kan dah merugikan ALONG tu sebab nombor dia dah kena blok. Setiap kali dia tukar nombor pun kena blog. Kan ALONG rasa rugi mencetak stiker, mengupah orang menampal stiker....bukan murah tu. Itu pun nak kena ajar ke. Wakil yang kita pilih tu bodoh atau buat-buat bodoh.

MASAALAH PATI

Kenapalah bengap sangat kerajaan nak hapuskan PATI....Tangkap dan hukum aje majikan yang menggajikan PATI dengan hukuman sebat atau penjara. Tentu majikan takut nak menggajikan PATI. PATI pasti tak nak masuk lagi sebabnya tak ada majikan yang berani menggajikan mereka...itupun susah ke nak bentangkan kat parlimen.
KERAJAAN BODOH ATAU.....
Berapa ramai rakyat malaysia yang kehilangan kerja disebabkan PATI.
Sampai makcik-makcik nak kerja kat pasar-pasar pun kena buang kerja sebab tokey sayur ambik pati bekerja....Makcik-makcik tu yang bodoh pilih wakil rakyat atau wakil rakyat tu yang bodoh....

INI DIN MERICAN TULIS BUKAN AKU TULIS
Kita pilih wakil rakyat bukan untuk duduk mengkayakan sedara-mara diaorang. Kita pilih wakil rakyat untuk membawa suara orang ramai, menjaga kepentingan orang ramai, kita yang bayar gaji diaorang.

Saya bukan ahli politik, tetapi saya membaca sifir politik melalui pemerhatian dan pengamatan tingkahlaku dan sandiwara para pelakonnya. Pelakon sandiwara politik ini adalah mereka yang menjadikan lapangan politik sebagai sumber pendapatan berlebihan mereka. Pelakon-pelakon ini juga membina landasan politik mereka sebagai lebuhraya yang menuju ke lubuk khazanah rakyat yang bakal dirompaknya.

Slogan dan retorik yang beraneka adalah skrip sandiwara kutu-kutu politik ini. Samada kutu-kutu ini mementaskan sandiwara politik mereka di peringkat nasional, negeri, daerah atau desa, matlamat dasar mereka adalah meraih perhatian, simpati dan sokongan rakyat demi meliliti mereka dengan kekuasaan yang lumrahnya berakhir dengan matlamat sebenar mereka – menggunungkan harta kekayaan dan wang ringgit.

Bukan tiada insan yang dengan penuh keinsafan menyertai dunia politik demi menyempurnakan niat murni demi perjuangan luhur, tetapi dalam kontek dunia hari ini adalah terlalu sukar untuk menemui insan seperti ini lagi. Allahyarham Cikgu Jabbar (Bebas) di Kelang mungkin seorang daripadanya. Tuan Guru Nik Aziz (PAS) dan Datuk Hj Abdul Latif Kantan (UMNO) di Rompin mungkin dalam kelompok insan berhati murni ini.

Laungan, seruan dan rayuan yang mereka pamirkan biasanya akan menjurus kepada menjenamakan mereka seolah-olah merekalah pejuang, merekalah wira dan merekalah pemimpin yang sunggup berkorban apa sahaja demi keselesaan dan kebahagian rakyat.

Satu perangkaan yang terlalu sukar untuk dibuktikan tetapi lebih sukar untuk dinafikan adalah hampir 100%, saya ulangi HAMPIR seratus peratus pemimpin politik samada dari UMNO atau Barisan Nasional, yang dengan hanya berkhidmat untuk tempoh 4 atau 5 tahun sebagai wakil rakyat telah berjaya menggumpul harta kekayaan yang boleh disangsikan punca perolehannya.

Malahan mereka yang mendampingi watak-watak wakil rakyat ini juga pada kebiasaan yang amat nyata, juga berjaya menghimpunkan khazanah dunia yang berjumlah dalam angka yang terlalu mencurigakan.

Saya mengambil contoh, seorang setiausaha akhbar seorang menteri yang berkhidmat cuma bagi tempoh 4 tahun boleh membeli atau dapat free 8 buah rumah yang nilai setiap satunya tidak kurang daripada RM250,000.00!!!

Seorang pembantu peribadi kepada seorang Ahli Dewan Rakyat dalam tempoh 4 tahun boleh memiliki 4 buah rumah semi-D yang bernilai tidak kurang daripada RM300,000.00 setiap satu dan sebuah banglo sebagai kediamannya yang berharga hampir RM3 juta.

Sejak lebih 30 tahun menjadi pemerhati yang tekun kepada gelagat pelakon sandiwara politik Malaysia, saya mengenali, berkawan dan bersahabat dengan ramai pelakon-pelakon ini.

Sejarah banyak membuktikan, terlalu banyak mereka yang telah berpuluh tahun berkhidmat sebagai guru atau pengetua atau pegawai PTD yang hanya mampu memiliki sebuah rumah kediaman yang sederhana dan hanya termampu memiliki kereta paling hebatpun mungkin Proton Perdana atau Honda Accord 2.0 atau Volvo secondhand.

Manusia yang sama apabila terpilih sebagai wakil rakyat samada sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Dewan Rakyat dalam jangka masa 4 atau 5 tahun telah berubah menjadi jutawan dengan hartanah, kereta dan perniagaan yang berbagai dalam nilai jutaan dan mungkin puluhan juta ringgit.

Saya yakin cerita saya ini bukanlah sesuatu yang asing kepada ramai rakyat Malaysia yang pekerjaannya serupa seperti saya iaitu pemerhati gelagat pelakon sandiwara politik.

Bermula dari pengamatan ini ayuh mari kita renungkan, apakah sebenarnya yang dibuat oleh ramai wakil rakyat yang kita pilih dengan harapan mereka dapat membantu merobah kehidupan kita ke arah yang lebih baik, teratur, berwawasan dan bertanggungjawab.

Pernahkah kita sesekali dengan berani dan bertanggungjawab menyoal wakil rakyat yang kita pilih itu dari manakah dia mendapat segala kekayaan dalam tempoh yang sebegitu singkat?

Saya dengan ini menyarankan kepada semua pengundi agar memerhatikan dengan cermat segala gelagat dan gerak-geri orang yang kita amanahkan menjadi wakil kita.

Tolong jangan buat silap lagi. Tolong jangan tunggu sehingga pilihanraya umum ke-13, masa itu terlalu lama.

Kalau dalam masa empat tahun orang yang kita pilih menjadi wakil rakyat itu berjaya mengumpul harga bernilai empat juta ringgit, maknanya dalam satu tahun dia telah berjaya mengumpul harga bernilai sejuta ringgit. Puratanya, dia mengumpul harga sebanyak RM83,333.33 dalam masa sebulan…!!!.

So, sekarang kira kaji lagi. Berapakah gajinya. Berapakah alaunnya. Berapakah claimnya yang membolehkan wakil kita itu mengumpul sebegitu banyak harta kekayaan dalam tempoh masa cuma empat tahun?

Sekiranya anda merasakan ada sesuatu yang meragukan terhadap corak perbelanjaan atau berlaku perubahan drastic terhadap gaya hidupnya atau keluarganya, maka anda bertindaklah sewajarnya.

Membuat laporan kepada polis atau BPR sahaja dalam hal ini adalah kesilapan dan pembaziran. Saya katakan tindakan itu satu kesilapan dan pembaziran kerana orang yang menjadi wakil kita itu biasanya mempunyai “laluan semut” untuk menyelamatkan diri mereka.

Laporan seharusnya dibuat bukan sahaja kepada polis dan BPR. Laporkan juga kepada mana-mana parti politik yang berlainan daripada parti yang diwakili oleh wakil rakyat kita itu.

Adalah tidak keterlaluan untuk kita turut memaklumkan kesangsian kita kepada pihak media dan bloggers yang mungkin boleh membantu melakukan penyiasatan dan pendedahan.

Laporkan kepada blogger Kerajaan Rakyat, dan kami akan susuli laluan semut itu.

Mengetahui penyelewengan serta salahlaku wakil rakyat, tetapi kita tidak menolaknya atau parti di mana dia bernaung bila sampai pilihanraya akan datang bermakna kita mengizinkan wakil rakyat itu terus bergelumang dengan najis penyelewengan dan salahlaku. Semakin lama kita biarkan, maka semakin banyaklah harta dan hak kita dirompak dan diselewengkannya.

Kita tidak perlu menunggu sehingga pilihanraya akan datang untuk menghukum wakil rakyat yang telah dipilih itu. Lakukan sekarang dan lakukan dengan penuh telus, bertanggungjawab dan bijaksana.

Ingat! Wakil rakyat adalah wakil kita, jangan biarkan wakil kita merompak hak dan harta kita.

Monday, July 6, 2009

Wajarkah Korbankan DEB Kerana Undi Minoriti? - A Kadir Jasin

JULY 6 — Terima kasih kepada pembahas dan pembaca yang menghayati puisi mudah saya dalam posting lalu. Saya tidak pandai bermadah dan berbahasa tinggi dan indah. Itulah yang mampu saya luahkan untuk melepaskan sebak di dada dan berkongsi rasa.

Terima kasih kepada yang turut berpuisi dan berpantun seloka. Khazanah bahasa ini jangan kita lupa. Madah pujangga dan tunjuk ajar pendeta jangan dipersia-senda.

Ekoran daripada reaksi yang membina kepada posting itu, izinkan saya meneruskan perbincangan mengenai Dasar Ekonomi Baru atau saki bakinya yang nampaknya amat tidak disenangi oleh sesetengah pihak. Mohon maaf jika tampalan kali ini lebih panjang daripada biasa.

Saya hendak mulakan dengan bertanya: Selama 30 tahun Dasar Ekonomi Baru berkuat kuasa, adakah ia menyekat perkembangan ekonomi negara?

Jawabnya tidak. Malah kerana pelaksanaan matlamat-matlamat dan program-program DEBlah, ekonomi Malaysia berkembang pesat.

Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) meningkat daripada RM12 bilion pada tahun 1970 kepada RM120 bilion 1995 dan RM357.9 bilion 2007, menjadikan ekonomi Malaysia ke-29 terbesar di dunia.

Adakah ia menyekat kemajuan kaum-kaum bukan Bumiputera dan membantutkan kemasukan modal asing seperti yang didakwa oleh begitu banyak pihak sehingga membuatkan sesetengah pembesar Umno berasa bersalah dan defensif?

Pun tidak. Kadar kemiskinan dikurangkan dan pendapatan semua kaum meningkat. Tetapi pendapatan kaum-kaum bukan Bumiputera, khasnya Cina meningkat dengan lebih pantas kerana mereka menguasai dunia perdagangan dan profesionalisme.


Jurang Miskin-Kaya Meluas

Malah jurang pendapatan antara yang miskin dan kaya menjadi luas semula sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila kemunculan kegiatan baru ekonomi seperti perkhidmatan (services) dan teknologi maklumat dan telekomunikasi (ICT) lebih menguntungkan sesetengah kaum dan golongan pekerja.

Laporan Rancangan Pembangunan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHDP) tahun 2004 mendapati 10 peratus rakyat Malaysia yang paling kaya menguasai 38.4 peratus daripada pendapatan ekonomi berbanding 10 peratus paling miskin menguasai hanya 1.7 peratus.

Kita semua tahu siapa dan kaum mana paling kaya di Malaysia dan siapa pula yang paling miskin di negara kita ini. Malah jurang antara yang kaya dengan yang miskin dalam kaum yang sama turut meningkat.

Bumiputera tidak mencapai matlamat 30 peratus pemilikan kekayaan korporat. Mengikut perangkaan rasmi, pada tahun 2006, pemilikan Bumiputera pada nilai pasaran dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dianggarkan RM88.4 bilion atau 15.1 peratus.

Tetapi bukan Bumiputera yang berupa 34 peratus daripada warganegara memiliki RM251.1 bilion (42.8 peratus) manakala pemodal asing memiliki RM234.7 bilion (40 peratus).

Majoriti aset Bumiputera dipegang oleh institusi amanah dan beberapa kerat ahli perniagaan Melayu yang berjaya.


Lebih Buruk Tanpa DEB

Hatta pada nisbah yang rendah dan berat sebelah ini pun, kita boleh berkata DEB telah berhasil mengurangkan kemiskinan dan ketidakseimbangan kaum.

Misalnya, apabila DEB dilancarkan pada tahun 1971, pemilikan korporat Bumiputera dianggarkan hanya dua peratus.

Jadi apalah salahnya kita meneruskan pelaksanaan sesetengah matlamat dan kaedah DEB yang baik dan berkesan itu?

Mengapakah sesetengah orang Melayu dan parti-parti politik Melayu begitu takut untuk mempertahankan sesuatu yang terbukti baik dan menguntungkan semua kaum?

Kalau ada perkara yang hendak ditentang dan dikritik dalam dasar itu adalah kegagalan mencapai sepenuhnya matlamat membasmi kemiskinan dan 30 peratus pemilikan Bumiputera.

Dalam apa bentuk sekalipun, matlamat membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menambah ekuiti Bumiputera wajib diteruskan.

Tetapi dasar-dasar berkaitan pemilikan ekuiti bukan Bumiputera boleh diliberalisasikan kerana mereka bukan sahaja sudah mencapai matlamat itu malah atas dasar meritokrasi sudah boleh bersaing dengan orang asing.

Inilah masanya bagi badan-badan amanah dan tabung-tabung pelaburan rasmi, termasuk Ekuiti Nasional Berhad yang baru ditubuhkan, menambah modal dalam syarikat-syarikat bukan Bumiputera dan asing yang berdaya maju kerana harga saham di Bursa Saham berada pada paras yang menarik.


DEB Punca Bukan Melayu Tolak BN?


Apakah pengundi bukan Melayu menolak Umno dan Barisan Nasional pada pilihan raya umum tahun lalu kerana DEB?

Kalau begitu, kenapa mereka sokong BN sebelum ini, khasnya pada tahun 2004?

DEB hanyalah alasan! Mereka menolak Umno dan BN kerana imej BN yang tidak baik dan kerana mungkir janji. Banyak janji dan ikrar era Abdullah Ahmad Badawi seperti keterbukaan, kebebasan dan liberalisasi tidak dilaksanakan seperti difahami oleh pengundi.

Selain merakamkan protes, pengundi bukan Melayu tahu bahawa dengan menghukum BN mereka boleh membuat tuntutan baru.

Dilema Umno dan BN adalah memastikan agar tolak-ansur dengan bukan Melayu ini tidak akan menambahkan kemarahan orang Melayu dan memastikan orang bukan Melayu mengundi BN.

Yang dikhuatiri adalah apa yang disebut oleh ungkapan Inggeris iaitu pengundi bukan Melayu mungkin "have the cake and eat it at the same time." Dalam erti kata yang lain, mereka terima apa yang diberi, tetapi tetap tidak mengundi BN.


Ada Bumiputera Tak Sedar Untung Nasib

Bumiputera yang menolak DEB atau berasa bersalah mendapat bantuan DEB sebenarnya tidak kenang budi dan tidak sedar diri.

Apatah lagi kalau mereka membuta tuli bercakap mengenai meritokrasi dan liberalisasi yang mereka sendiri tidak faham implikasinya.

Kalau tidak kerana sekolah asrama penuh, MRSM, biasiswa dan pinjaman pelajaran, adakah mampu bilangan profesional Bumiputera dinaikkan ke tahap sekarang?

Pada tahun 1970, ada hanya 6.8 peratus akauntan adalah Bumiputera, 4.3 peratus arkitek, 3.7 peratus doktor dan 7.3 peratus jurutera. Yang agak banyak adalah doktor haiwan (40 peratus) sebab pada waktu itu Melayu pelihara haiwan. Tetapi pada tahun lalu, 24.5 peratus akauntan adalah Bumiputera, arkitek 38.2 peratus, doktor 52.9 peratus dan jurutera 52.4 peratus.

Apakah Melayu dan Bumiputera profesional ini boleh berada di mana mereka sekarang jika bergantung nasib semata-mata kepada pembiayaan ibu bapa mereka yang mengerjakan bendang, dusun dan huma untuk mendapat pelajaran tinggi?

Sekalipun mereka sudah berdikari dan tidak perlu tongkat lagi, tetapi ingatlah banyak lagi orang Melayu, Iban, Kadazan dan Orang Asli yang miskin dan melarat.

Dan bagi setiap rumah besar yang doktor atau jurutera Melayu miliki, orang Cina miliki lebih banyak dan lebih besar.

Jangan berbangga sangat dengan aset-aset Permodalan Nasional Berhad, Tabung Haji, Felda dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera. Hari ini semakin banyak kawasan bandar seperti Seri Kembangan, Petaling Street dan Bukit Bintang, hampir-hampir tidak ada penyertaan Bumiputera malah India pun hampir-hampir tidak ada.

Jadi, apakah yang buruk sangat dengan DEB sehingga begitu ramai orang, termasuk orang Melayu, berasa ia merugikan dan wajib dihapuskan?


Meritokrasi Bila Tembolok Terisi


Orang bukan Melayu dan sesetengah orang Melayu kini asyik bercakap mengenai keadilan sosial dan meritokrasi.

Bukankah kerana keadilan sosial dan meritokrasi di bawah DEB maka begitu ramai orang bukan Melayu mampu ke universiti-universiti ternama di dunia atas pembiayaan sendiri mengatasi bilangan Bumiputera yang dibiayai oleh Kerajaan?

Mengapakah apabila Kerajaan memberi biasiswa atau bantuan kepada Bumiputera, ia dituduh memberi tongkat, tetapi apabila bukan Bumiputera mendapat hak yang sama, ia dikatakan hak dan meritokrasi?

Apabila Bumiputera berjaya dalam perniagaan dia dituduh kroni. Tetapi apabila korporat Cina dan India menjadi raksasa kerana kontrak, francais dan lesen kerajaan ia dikatakan meritokrasi?

Siapa yang memegang monopoli gula sampai hari ini atau menjadi kaya raya kerana lesen judi, lesen TV satelit, lesen IPP dan kontrak berbilion ringgit membina hospital, kereta api laju dan sekolah?

Dan berapa kerat tahu atau masih ingat bagaimana Tun Abdul Razak Hussein terpaksa "menyelamatkan" Malayan Banking pada tahun 1965 apabila pengasasnya, mendiang Khoo Teck Puat, disingkirkan atas tuduhan melencongkan wang bank itu kepada syarikat persendiriannya di Singapura?

Begitulah juga dengan pengambilan oleh IPTA. Apabila keutamaan diberikan kepada Bumiputera, bukan Melayu merungut. Tetapi apabila Kerajaan membenarkan penubuhan IPTS yang majoriti pelajarnya bukan Melayu, tiada siapa pun mengucapkan terima kasih atau bersungut?

Hari ini, ada 20 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang tersenarai dalam laman web rasmi Kementerian Pengajian Tinggi, tidak termasuk 24 politeknik. Bilangan IPT swasta yang disenaraikan berjumlah 450 – ya, 450.

Dengan pengambilan bukan Bumiputera yang semakin ramai ke IPTA dan kemasukan ke IPTS yang terus dimonopoli oleh bukan Bumiputera, adalah tidak mustahil dalam masa yang singkat pengajian di IPT akan didominasi oleh bukan Bumiputera.

Soal pokoknya adakah situasi berat sebelah yang memihak kepada kaum-kaum minoriti ini menyokong pemulihan Umno dan pembentukan 1Malaysia yang sejahtera, aman dan makmur?

Sudah lupa yang sejahtera, aman dan makmur itu adalah cogan kata manifesto BN tahun lalu?

Dan apakah sudah dikaji dan difahami implikasi sistem biasiswa dua tingkat (two-tier) kepada nisbah kemasukan dan prestasi pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera ke IPT?


Sumbangan bukan Bumiputera Tidak Dinafikan

Tiada siapa yang menafikan bahawa bukan Bumiputera juga menyumbang kepada perkembangan dan kematangan ekonomi negara, tetapi ia berasaskan kepada prinsip keuntungan.

Mereka menyumbang kepada perkembangan ekonomi kerana suasana politik yang stabil sejak 1969 membolehkan mereka meraih keuntungan yang besar daripada apa yang mereka laburkan.

It is not altruism -- bukan sumbangan percuma yang tidak mengharapkan sebarang alasan!

Mari kita hadapi realiti. Selain Singapura yang berupa negara kecil dan majoriti penduduknya Cina, tidak ada tempat lain di dunia di mana orang Cina mempunyai kuasa politik yang begitu luas serta memonopoli ekonomi selain daripada di bumi Malaysia ini.

Tetapi, pilihan raya demi pilihan raya membuktikan bahawa yang menjadi tonggak BN adalah orang Melayu dan Bumiputera lain.

Malah majoriti calon bukan Melayu BN yang menang pilihan raya menang di kawasan majoriti Melayu.

Tetapi akibat kelemahan Umno, orang bukan Melayu bulat-bulat menolak BN pada pilihan raya 2008 manakala ramai orang Melayu memihak kepada Pas.

Perimbangan kuasa antara Umno dan Pas sudah berubah. Tidak mustahil Pas akan menjadi parti utama Melayu yang terpaksa berpakat dengan parti-parti bukan Melayu untuk memerintah.

Itulah yang akan terjadi apabila peranan Umno sebagai parti induk politik Malaysia tidak dapat dipulihkan lagi.

Dan harapan memulihkan Umno sehingga boleh diterima kembali oleh majoriti orang Melayu dan dihormati oleh bukan Melayu tidak akan berjaya jika kepemimpinannya terus dicurigai dan dipertikaikan.

Tindakan tidak menyingkirkan anasir-anasir rasuah daripada kepemimpinan Umno, malah melantik mereka semula, tidak membantu proses pemulihan Umno.

Ironinya, masyarakat perniagaan yang didominasi oleh bukan Melayu boleh hidup makmur sama ada dalam suasana bebas rasuah atau penuh rasuah!

Apabila orang Umno sendiri mendapati sukar mempertahankan parti mereka, adalah sukar bagi Umno mendapat sokongan orang lain, terutamanya sokongan bukan Melayu. Orang bukan Melayu mempunyai banyak pilihan.

Kesimpulannya, janganlah sewenang-wenangnya ditolak kebaikan DEB semata-mata untuk memancing undi atau kerana ia tidak berjaya sepenuhnya.

Itu bukan salah DEB. Itu adalah pengkhianatan oleh pelaksana yang dangkal, lemah, malas dan korup.

Terima kasih.

Saturday, June 27, 2009

Thursday, June 18, 2009

Mat Rempit Sejati



Adake orang umah aku amik gambar aku tengah tido mcm ni.... tak senonoh betul hehehe

“SUDAHLAH bawa motor (sikal) macam pelesit, boncengkan betina pula,” kata seorang pemandu kereta berusia separuh abad ketika melalui Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur bersama keluarganya pada malam minggu lalu.


Komen sedemikian adalah kata-kata biasa yang didengar dan diucapkan pengguna jalan raya apabila terserempak dengan gelagat menyakitkan mata dan hati penunggang motosikal yang digelar ‘Mat Rempit’.Label Mat Rempit sudah cukup menerangkan betapa tidak semenggahnya perangai anak muda yang membawa motosikal dengan pelbagai lagak ngeri dan berbahaya, bukan saja pada diri penunggang, juga orang ramai.

Kelakuan menjengkelkan Mat Rempit diterjemah pula dalam bentuk filem ‘Remp-it’ yang memaparkan betapa buruknya kelakuan anak muda kaki lumba haram yang gemarkan seks bebas, arak dan ganja.

Bagi masyarakat umum yang saban hari disogok dengan salah laku suka bergaduh, aksi berani mati di jalan raya, sering dikejar polis trafik, berlumba haram dengan pertaruhan wang tunai serta imbuhan tubuh perempuan murahan, Mat Rempit bukan insan baik.

Tengoklah filem Remp-it, mana ada Mat Rempit baik? Pelbagai watak ditonjolkan, tetapi tidak ada Mat Rempit yang betul-betul mempunyai pekerti mulia yang boleh dijadikan contoh.

Macha adalah antara satu watak baik yang ditonjolkan sering mendirikan solat, malangnya perwatakan itu dicemari pula dengan split-personalitynya (personaliti terbahagi). Macha turut digambarkan anak muda dahagakan seks bebas apabila bersama rakan rempitnya.

Pendek kata, kalau masyarakat mahu tahu siapa sebenarnya Mat Rempit pergilah ke panggung wayang dan tonton Remp-it, selepas itu tanyalah anak remaja di rumah, ke mana mereka melaram dengan motosikal dan apa mereka lakukan hingga awal pagi.

Sedar atau tidak, masyarakat seolah-olah tidak nampak sebenarnya kegilaan remaja terhadap motosikal, saling tidak tumpah minat dan kegiatan anggota kelab motosikal berkuasa tinggi atau Mat Motor Besar.

Mat Rempit berhimpun di tepi jalan, Mat Motor Besar melepak di kelab eksklusif. Mat Rempit berhibur di disko, Mat Motor Besar pula menikmati persembahan live band di lounge hotel.

Kenapa hanya Mat Rempit dipandang serong sedangkan Mat Motor Besar dijulang sebagai orang yang ada kelas dan dihormati?

“Di sebalik label kejahatan yang diberikan kepada Mat Rempit itu, masyarakat seolah-olah lupa bahawa Mat Rempit juga manusia biasa.

“Mereka ada hati dan perasaan, berbakat serta berkebolehan terutama dalam bidang kejuruteraan permotoran dan kelajuan.

“Apa yang paling penting, mereka adalah generasi pemimpin akan datang,” kata Pengerusi Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.

Malangnya, tidak ramai yang nampak potensi sebenar Mat Rempit sebagaimana Abdul Azeez melihatnya.

Bagi masyarakat, apa saja perkara yang bersabit Mat Rempit, tidak ada langsung baiknya. Semuanya buruk, hina, kotor, jahat atau lebih mudah jika dirangkumkan sebagai sampah masyarakat!

Sedangkan, Mat Rempit pada pandangan Abdul Azeez adalah insan yang mempunyai bakat, kemahiran, semangat berpasukan yang mantap, setiakawan dan kepemimpinan.

Bakat dan minat dalam dunia permotoran, walaupun setakat bertumpu pada kenderaan berkuasa rendah, menjadikan Mat Rempit kumpulan belia yang kreatif dan inovatif hingga berupaya meningkatkan kuasa motosikal kecil setaraf dengan motosikal berkuasa tinggi.

“Saya pernah berjumpa dengan seorang usahawan permotoran dari Jepun yang mempunyai 200 jurutera bekerja dengannya.

“Dia kagum apabila mendapat tahu Mat Rempit boleh ubah suai enjin motosikal 120cc memecut lebih 180 kilometer sejam. Begitulah hebatnya Mat Rempit kita,” katanya.

Beliau berkata, banyak pihak yang geram dengan aksi Mat Rempit yang suka mempamerkan lagak ngeri di jalan raya sibuk sedangkan kerajaan berusaha menyediakan litar lumba yang boleh diguna pakai.

“Masalahnya, kebanyakan Mat Rempit adalah golongan remaja yang sukakan perhatian dan perangai menunjuk-nunjuk adalah naluri biasa remaja.

“Jika mereka mahu beraksi di depan khalayak ramai, mengapa kita tidak boleh tutup jalan, misalnya di Jalan Tuanku Abdul Rahman atau Jalan Tun Razak dan sediakan penghadang yang selamat di sepanjang jalan supaya mereka boleh beraksi.

“Saya percaya, jika kita beri sedikit kelonggaran kepada Mat Rempit menunjukkan bakat mereka, aktiviti itu boleh dijadikan satu acara unik yang boleh menarik minat pelancong asing,” katanya.

Katanya, Mat Rempit juga mempunyai pelbagai kelab tidak berdaftar seperti Kumpulan Shell, Kumpulan Kamikaze dan Kumpulan Apache, tetapi amat mengagumkan apabila Putera Umno mendapati kumpulan itu mempunyai struktur organisasi pertubuhan yang tersusun dengan anggota yang patuh dan taat pada pemimpin serta peraturan kelab.

“Mat Rempit bukan sekadar kumpulan penggemar sukan motosikal yang tidak tentu hala, mereka mempunyai keanggotaan dan bakat kepemimpinan yang baik.

“Jika kelebihan itu dapat disalurkan ke jalan yang betul dan berfaedah, Mat Rempit boleh dibentuk menjadi insan cemerlang, gemilang dan terbilang,” katanya.

Abdul Azeez berkata, Putera Umno mengambil langkah mendekati golongan Mat Rempit kerana menyedari kumpulan belia itu boleh dibimbing dan diketengahkan sebagai kelompok anak muda yang berdaya maju.

Menurutnya, Putera Umno mengatur untuk menghimpunkan 50,000 Mat Rempit dari seluruh negara di ibu kota pada 10 hingga 12 November ini dengan pengisian pelbagai aktiviti sukan, rekreasi dan hiburan bagi mendedahkan golongan itu kepada masyarakat.

Selain itu, Putera Umno sedang merancang mengadakan konvoi membabitkan kira-kira 2,000 Mat Rempit dari Kuala Lumpur ke Teluk Batik, Lumut, Perak pada 9 September ini.

Lebih 400 Mat Rempit pula bakal meronda di sekitar ibu kota sambil membawa tabung bantuan kemanusiaan untuk rakyat Lubnan dan Palestin yang menjadi mangsa kekejaman Israel melalui Ronda Kemanusiaan Putera Rempit bermula jam 8 malam hingga 12 tengah malam 26 Ogos ini.

Abdul Azeez melihat penampilan Mat Rempit dalam acara kemanusiaan itu mampu memberi ruang kepada masyarakat umum untuk mencuci minda daripada prasangka dan prejudis terhadap belia bermotosikal

Tuesday, May 19, 2009

Ini lah projek aku secara tak sengaja. Aku terbuat video clip ni masa cari gambar gambar raya.
Gambar zaman bila aku dah lupa dah tapi aku tau ni gambar raya.